Selasa, 16 Disember 2008

DBKL MEROBOHKAN GERAI DI JALAN PALONG

Pada 4 Disember 2008 pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merobohkan 9 gerai haram warga asing di sepanjang Jalan Palong, Taman Miharja Fasa Dua, Cheras yang dipercayai diusahakan secara ali baba. Tindakan pihak Direktorat Penguatkuasa DBKL ini hasil aduan penduduk dan peniaga lain bahawa pemilik gerai terbabit telah mengabaikan kebersihan dengan sewenang-wenangnya membuang sampah ke dalam longkang yang mengundang kepada pembiakan tikus dan mengotorkan kawasan persekitaran.

Pihak DBKL juga telah memberikan notis sebanyak tiga kali sebelum merobohkan gerai tersebut yang kebanyakkannya telah dialibabakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing. Majoriti peniaga di kawasan ini adalah kalangan Orang Melayu.

Menurut peniaga tempatan lagi sebanyak 20 gerai yang sedia ada masih dibenarkan berniaga. Namun kebenaran tersebut hanya buat sementara waktu kerana gerai-gerai tersebut dalam pemerhatian DBKL untuk dirobohkan. Kerisauan pemilik gerai ini berkaitan status gerai mereka sama ada dirobohkan atau tidak terus menghantui mereka.

RUMAH SETINGGAN KAWASAN BUKIT B KG. KERINCHI

Kawasan penempatan setinggan Bukit B Kg. Kerinchi, bersebelahan SMK Sri Pantai, Kg. Kerinchi mempunyai hampir 200 buah rumah. Isu perpindahan penduduk setinggan Kg. Kerinchi merupakan isu dominan yang semakin memuncak sewaktu kempen Pilihanraya Umum ke 12.

CADANGAN MELARANG MOTORSIKAL MEMASUKI BANDAR

Cadangan ini dibuat ekoran timbul kerisauan orang ramai tentang kejadian jenayah ragut, lumba haram, memandu secara merbahaya, mengancam nyawa pengguna yang lain dan menyumbang kepada pencemaran alam persekitaran.

Jalan-jalan utama di dalam bandar yang sering digunakan oleh motorsikal ialah Jalan Tunku Abdul Rahman, Raja Laut, Jalan Pahang, Jalan Pudu, Jalan Loke Yew, Jalan Hang Tuah, Jalan Ampang, Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Alang, Jalan Tun Tan Cheng Look, Jalan H.S Lee, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Leboh Ampang, Lorong Masjid India dan lain-lain.

Kemasukkan penunggang motorsikal ini berbagai tujuan samada bekerja, menghantar kawan, membeli barang, urusan sendiri di pejabat kerajaan, bersiar-siar dan bermacam-macam tujuan yang menyebabkan mereka menggunakan motorsikal untuk ke bandar.

Isnin, 15 Disember 2008

KEMELUT PENIAGA PASAR DATUK KERAMAT

Isu pasar ini telah lama dibangkitkan oleh para peniaga. Mereka tidak mahu berpindah ke pasar baru yang dibangunkan. Mereka mendakwa telah menjalankan perniagaan bahan basah dan kering seperti ikan, daging, ayam dan sebagainya di tapak pasar lama. Ada juga peniaga yang menjual kain baju, membuka kedai makan dan kedai jahitan. Peniaga Pasar Datuk Keramat tidak menolak pembangunan. Kata mereka, pasar baru yang dibangunkan tidak sesuai untuk mereka berniaga bahan basah. Ruang niaga yang disediakan terlalu kecil. Kedudukannya pula terlindung oleh bangunan rumah kedai berhampiran. Tempat letak kenderaan terhad dan stesen minyak berdekatan membahayakan.

Satu majlis dialog peniaga dengan DBKL akan diadakan pada jam 2.00 petang, 30 Disember 2008, bertempat di perkarangan tempat letak kereta Pasar Keramat bagi mencari penyelesaian terhadap isu ini.